Identiti wanita dibunuh, dibakar dikenal pasti

A
A
A

IPOH - Mayat wanita tanpa identiti yang dipercayai dibunuh dan dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar dekat Kampung Talang pada Selasa telah dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pengesahan identiti mangsa berusia 21 tahun itu, susulan pengecaman dilakukan seorang lelaki yang mendakwa adik kepada wanita terbabit.

Menurutnya, lelaki berusia 19 tahun itu telah hadir ke Balai Polis Kuala Kangsar pada jam 2.45 petang untuk membuat laporan mengenai kakaknya yang tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Stesen sejak Selasa.

"Berdasarkan laporan itu, lelaki terbabit memberitahu ada menghubungi kakaknya, namun panggilan yang dibuat tidak berjawab.

"Lelaki itu mengecam mangsa sebagai kakaknya berdasarkan selipar yang digunakan selain subang hidung yang dipakai di sebelah kanan, penyepit rambut dan pengecaman wajah yang hampir sama," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, polis akan menunggu laporan bedah siasat dijalankan pakar forensik di Hospital Kuala Kangsar bagi tujuan pengesahan.

Katanya, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga akan dilakukan dengan mengambil sampel darah bapa wanita terbabit bagi pengesahan tepat identiti.

"Kita juga akan membuat pemadanan gigi si mati dengan rekod pergigian kerana dimaklumkan mangsa ada membuat pemeriksaan di klinik pergigian di Kuala Kangsar.

"Buat masa sekarang, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif mangsa dibunuh dan dibakar di kawasan berkenaan," katanya.

Mayat dengan kesan luka di kepala itu dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dijumpai orang awam dalam keadaan terbakar di tepi sungai berkenaan sekitar jam 3.05 petang pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!