Taktik simpan rokok seludup dalam rumah sewa terbongkar
SEREMBAN - Taktik sindiket menyewa sebuah rumah untuk dijadikan lokasi simpanan rokok seludup terbongkar menerusi serbuan yang dijalankan di Taman Megah di sini pada Rabu.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rasdi Ariffin berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 4.45 pagi itu berjaya merampas sejumlah besar rokok seludup bernilai RM318,738.
Menurutnya serbuan dijalankan turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 61 tahun di lokasi.
"Pemeriksaan yang dijalankan menemukan beberapa kotak mengandungi rokok seludup yang disimpan di dalam dua buah kenderaan jenis Toyota Unser dan Hyundai yang diletakkan berhampiran lokasi serbuan.
"Seterusnya pemeriksaan dijalankan di dalam rumah berkenaan dan menemukan beberapa kotak mengandungi pelbagai jenis rokok seludup," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, siasatan dijalankan mendapati rumah yang disewa itu digunakan sebagai stor tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan kepada pembeli.
"Serbuan ini sekali gus berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan rokok seludup di kawasan Seremban.
"Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan suspek yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!