Orang ramai ambil peluang 'makan angin', ziarah keluarga di Thailand

Pintu masuk utama Malaysia-Thailand di Rantau Panjang.
Pintu masuk utama Malaysia-Thailand di Rantau Panjang.
A
A
A

PASIR MAS - Orang ramai mengambil kesempatan hari pertama kebenaran kenderaan persendirian merentas Malaysia-Thailand bermula hari ini, untuk ‘makan angin’ dan menziarahi ahli keluarga di negara jiran tersebut.

Tinjauan Bernama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini pada Rabu mendapati kenderaan mula keluar masuk seawal pukul 8 pagi untuk urusan ke Thailand dan sebaliknya.

Seorang penduduk tempatan, Jimmi Tiaw, 23, berkata, beliau gembira dapat ke Golok bersama tiga ahli keluarganya menggunakan kenderaan persendirian selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.

Katanya, urusan masuk ke Thailand juga agak mudah apabila pihak berkuasa hanya membuat semakan status vaksinasi di aplikasi MySejahtera dan pas sempadan.

"Kebenaran merentas ke Thailand menggunakan kenderaan persendirian bermula hari ini (Rabu), membolehkan kami sekeluarga makan dan membeli-belah di Golok seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, pada Rabu.

Seorang peniaga dari Kuala Lumpur, Muhammad Jusoh, 52, pula berkata, beliau mengambil kesempatan pulang ke Narathiwat, Thailand bagi bertemu tiga anaknya yang terpisah sejak dua tahun lepas, sekali gus menyelesaikan urusan pembaharuan beberapa dokumen termasuk berkaitan persekolahan mereka.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketiga-tiga anaknya terpaksa tinggal di Narathiwat bersama nenek mereka, Zainab Ibrahim, 70, dan hanya berhubung menerusi panggilan telefon serta video bagi mengetahui perkembangan mereka.

Sementara itu, Ang Eik, 72, yang berasal dari Waeng, Thailand dan menetap di Kampung Sakar di sini, berkata beliau mengambil peluang untuk membawa pulang kenderaannya yang tersadai di Thailand sejak dua tahun lepas.

"Saya bersyukur kerana kenderaan tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran susulan kelonggaran yang diberikan kerajaan Thailand,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangkakan 1,000 kenderaan persendirian dari Thailand memasuki negeri itu pada hujung minggu susulan pembukaan sempadan Malaysia-Thailand bermula hari ini.

Kemasukan kenderaan ke negeri itu dijangka membabitkan tiga pintu utama iaitu Stesen Kawalan Sempadan JPJ Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!