'Tak ada hantu dalam Gua Sireh'
BALING - Persatuan Penduduk Dalam Wang memohon pengunjung tidak mudah percaya dengan gambar dipercayai hantu dalam Gua Sireh yang tular di media sosial.
Setiausaha Penduduk Dalam Wang, Mohd Zaid Ab Mokti berkata, dua gambar yang dikatakan makhluk halus itu sebenarnya pantulan cahaya ke arah batu kapur berhampiran dengan titi utama.
Menurutnya, pengunjung tidak perlu panik dan takut untuk datang ke situ memandangkan gua tersebut sudah lama diterokai manusia, malah menjadi pusat ekonomi penduduk sekitar tahun 60-an hingga 70-an.
"Gambar-gambar dikatakan hantu itu sebenarnya bentuk batu berwarna putih. Imejnya seakan hidup apabila terkena pantulan cahaya dalam gua.
"Sesiapa sahaja yang ambil gambar di sudut itu, pasti akan mendapat latar belakang seperti itu," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Terdahulu, tular beberapa gambar hantu di media sosial sejak malam tadi.
Imej itu didakwa dirakamkan secara tidak sengaja oleh rombongan sebuah sekolah menengah minggu lalu.
Mohd Zaid berkata, di beberapa sudut lain dalam gua itu juga terdapat pelbagai imej unik dan menarik.
"Antaranya bentuk batu seperti orang sedang membaca al-Quran, bertapa, sedang solat termasuk bentuk bayi, kambing, serigala, penyu, gajah dan banyak lagi.
"Semua itu terbentuk hasil stalagtit dan stalagmit yang berusia ribuan tahun. Kita sepatutnya mengelak daripada percaya kepada perkara tahyul kerana dibimbangi menggugat akidah," katanya.
Mohd Zaid berkata, pihak persatuan bagaimanapun tidak menyalahkan pihak yang menularkan gambar berkenaan.
"Cuma kita harap semua pihak berhati-hati ketika tularkan satu-satu isu atau gambar kerana ia mampu menjejaskan keyakinan pelancong untuk datang ke Gua Sireh.
"Sebagai rakyat tempatan, seharusnya kita pertahankan produk pelancongan dan membantu promosi kebaikannya," katanya.
Menurutnya, gua turut disebut dalam al-Quran bahkan rakyat di luar negara seperti di Timur Tengah mengangkat tinggi nilai gua.
"Tetapi mengapa di sini kita meletakkan nilai di tahap sangat rendah?
"Gua Hira' menjadi lokasi pertama turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad manakala Gua Thur lokasi bersembunyi Nabi Muhammad bersama Saidina Abu Bakar daripada musuh.
"Dalam surah Al-Kahfi pula, menceritakan tujuh pemuda menyelamatkan iman daripada raja yang zalim selama 300 tahun," katanya.
Mengulas lanjut perkembangan gua yang mula dibuka sebagai pusat pelancongan sejak Februari lalu itu, Mohd Zaid berkata, jumlah pelancong dari 2 Februari hingga kini mencecah hampir 10,000 pengunjung.
"Semua yang datang untuk kali pertama akan berkunjung pula kali kedua bersama keluarga atau kawan-kawan.
"Selain rakyat tempatan, kita juga menerima kehadiran pelancong dari luar negara iaitu Jepun, China, Thailand, Korea, Jerman, Rusia dan Amerika Syarikat," katanya.
Manakala pengunjung dari Kampung Batu 7, Mohd Nazry Bidin, 39, berkata, dia tidak percaya dengan apa yang sedang ditularkan.
"Saya sendiri dah masuk sampai ke hujung gua. Memang tak ada apa yang perlu ditakutkan. Hantu macam didakwa juga tak pernah ada.
"Bila kita masuk, takkan timbul perasaan seram atau takut. Gua ini cukup indah dengan keunikan bentuk batu kapur," katanya.
Katanya, sebelum dibuka sebagai pusat pelancongan, dia juga sudah memasuki gua itu beberapa tahun lalu dan nyata tiada perkara yang aneh.
Sementara itu, seorang aktivis alam sekitar, Laili Basir berkata, masyarakat perlukan didedahkan dengan pendidikan berbanding percaya perkara tahyul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!