PM ucap takziah kepada keluarga legenda bola sepak negara Syed Ahmad

Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis pada kira-kira 1 tengah hari, pada Rabu.

Menyifatkan Allahyarham sebagai 'permata' dalam dunia bola sepak negara, Ismail Sabri berkata jasa Syed Ahmad akan tetap dikenang oleh seluruh Keluarga Malaysia.

"Allahyarham pernah mengharumkan nama Malaysia apabila menjaringkan gol dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik di Seoul, Korea Selatan pada tahun 1971, membolehkan Malaysia layak ke temasya Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972.

"Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook rasmi beliau.

Syed Ahmad meninggal dunia pada usia 76 tahun akibat serangan jantung.

Anaknya, Syed Abu Bakar, 40, berkata Allahyarham dimasukkan ke wad hospital itu dua hari lepas dan kesihatan beliau sudah merosot sejak sebulan lepas.

Syed Ahmad meninggalkan seorang balu, Samihah Ghazali, 75, bersama lima anak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!