Myanmar: Hampir 700,000 rakyat hilang tempat tinggal akibat konflik

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA)
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA)
A
A
A

BANGKOK - Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memaklumkan hampir 700,000 rakyat Myanmar hilang tempat tinggal akibat konflik dan keadaan yang tidak aman sejak rampasan kuasa pada Februari 2021.

Menerusi kemas kini OCHA mengenai situasi kemanusiaan di Myanmar setakat 31 Mei, pelbagai kawasan di Myanmar menyaksikan peningkatan pertempuran, memburukkan lagi konflik kemanusiaan yang sedia ada.

Menurut angka PBB, bilangan pelarian di dalam negara sejak tentera mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2021 sehingga kini melebihi 694,300, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi satu juta.

"Beribu-ribu pelarian meninggalkan rumah mereka dan terpaksa berpindah-randah.

"Dianggarkan 40,200 orang telah menyeberangi sempadan ke negara jiran sejak konflik tercetus.

"Sekitar lebih 12,700 harta awam, termasuk rumah, gereja, biara, dan sekolah telah musnah dan angka yang tepat sukar untuk disahkan.

"Ia akan mengakibatkan pelarian itu sukar kembali ke rumah mereka walaupun keadaan bertambah baik.

"Akibatnya, keperluan yang kompleks semakin meningkat, dan memerlukan bantuan kemanusiaan segera bagi menyelamatkan nyawa dan melindungi mereka yang terjejas,” menurut OCHA.

OCHA memaklumkan beribu-ribu orang di Myanmar hidup dalam kesusahan akibat kenaikan harga komoditi, termasuk makanan dan bahan api, sebahagiannya akibat konflik di Ukraine yang telah menjejaskan bekalan global.

Inflasi ini telah menjejaskan kuasa beli rakyat dan mula memberi kesan kepada beberapa kluster bantuan, khususnya berkaitan keselamatan makanan dan tempat tinggal.

Sejak April tahun ini, ribut kuat dan hujan lebat telah melanda kawasan pantai Myanmar, terutamanya kawasan rendah di negeri Rakhine, Kayin, Kachin dan Shan sehingga menyebabkan kerosakan pada prasarana awam, termasuk rumah dan tempat perlindungan.

Keadaan ini menambahkan lagi kesukaran terutamanya pelarian yang berada di pusat pemindahan.

"Bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada keluarga yang terjejas tetapi tidak mencukupi, termasuk kapasiti dan akses sedia ada.

"Lebih banyak pembiayaan diperlukan bagi memastikan tindak balas yang cekap sekiranya berlaku bencana alam yang lebih besar,” menurut OCHA.

Menurut organisasi hak asasi manusia Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, sekurang-kurangnya 1,800 orang awam telah terbunuh manakala lebih 13,000 orang telah ditangkap sejak rampasan kuasa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!