'Jangan tangguh audit forensik pemilihan PKR'

Gambar kecil: Tinagaran
Gambar kecil: Tinagaran
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) diharap menyegerakan audit forensik pemilihan parti bagi menyelesaikan segala perkara berbangkit dikemukakan calon-calon bertanding.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, pelbagai persoalan dan aduan dikemukakan calon bertanding mengenai beberapa isu ketika pemilihan yang menjadi keraguan.

Menurutnya, situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan ahli parti terhadap proses pemilihan kali ini kerana bukan sahaja keputusan lewat diumumkan tetapi terdapat beberapa keputusan yang meragukan.

"Saya bersama majoriti ketua-ketua cabang di Perak ini sebenarnya menyambut baik kenyataan Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa yang mempertimbangkan audit forensik bagi pemilihan tersebut.

"Langkah itu amat penting bagi memastikan segala aduan dan persoalan mengenai pemilihan dapat diselesaikan dengan sepatutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik PKR Perak, Raja Azam Shah Raja Omar Ikram berkata, cadangan melaksanakan audit forensik pemilihan itu sesuatu yang baik untuk meningkatkan kepercayaan ahli terhadap sistem pemilihan.

Menurutnya, bagaimanapun ia perlu dilakukan sesegera mungkin dan bukan dalam tempoh tertentu kerana pemilihan parti sudah berlalu bagi membolehkan gerak kerja seterusnya untuk parti dilakukan.

"Audit forensik parti ini akan membangkitkan rasa puas hati dalam kalangan ahli dan menunjukkan ketelusan pihak JPP dalam menjalankan proses pemilihan.

"Jadi, tempoh masa selama seminggu untuk tentukan audit forensik ini dilakukan terlalu lama, sepatutnya ia boleh dilaksanakan terus," katanya.

Dalam pada itu, Raja Azam berkata, memandangkan pemilihan merupakan isu dalam parti, keputusan audit forensik tidak harus didedahkan kepada umum sebaliknya hanya diketahui oleh anggota parti sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!