Gajah liar: Penduduk Tok Uban bersengkang mata demi keselamatan

Mohd Ridzuman (kiri) bersama Mohd Rosmizi melihat sebahagian tanaman pokok pisang yang musnah diserang gajah liar ketika tinjauan di Kampung Tok Uban pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Ridzuman (kiri) bersama Mohd Rosmizi melihat sebahagian tanaman pokok pisang yang musnah diserang gajah liar ketika tinjauan di Kampung Tok Uban pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KRAI - Seminggu sudah berlalu namun tidur malam kira-kira 147 keluarga dari dua kampung di Tok Uban dan Kubang Kerian, Lata Rek, di sini, masih dibelenggu kerisauan dan ketakutan kerana beberapa ekor gajah liar masih menceroboh kampung mereka.

Tinjauan Bernama di Kampung Tok Uban yang terkesan akibat serangan gajah liar, mendapati banyak tanaman telah musnah, pagar rosak akibat rempuhan mamalia itu selain terdapat beberapa kesan tapak kaki dan tompokan najis di kebun pisang seorang penduduk di kampung terbabit.

Wakil penduduk Kampung Tok Uban, Mohd Ridzuman Hanapi, 37, yang juga peniaga kedai runcit berkata gangguan gajah liar itu bukan sahaja menyebabkan penduduk ketakutan tetapi banyak hasil tanaman mereka rosak dan musnah dimakan haiwan tersebut seperti kelapa sawit, pokok kelapa dan pisang.

"Semalam, (1 Jun) kami nampak tiga ekor gajah termasuk anaknya telah ceroboh masuk ke kampung kami sebanyak tiga kali sekitar 7 hingga 11 malam.

"Kami terpaksa halau dengan cara kami supaya gajah tersebut tidak serang orang lain dan tanaman di sekitar," katanya kepada Bernama, di sini pada Khamis.

Bercerita lanjut, Mohd Ridzuman berkata, semenjak 20 ekor gajah liar itu memasuki kampung mereka pada Khamis lepas, penduduk bersepakat menjaga kawasan kampung secara sukarela terutama pada waktu malam untuk memastikan gajah terbabit tidak mengancam manusia serta memusnahkan tanaman.

"Kami (penduduk) apabila bangun pagi akan fikir mengenai gajah, hendak tidur malam pun terpaksa fikir gajah lagi. Begitulah rutin harian kami sejak seminggu ini apabila gajah liar tiba-tiba muncul semula di kampung kami.

"Kira-kira 10 hingga 15 penduduk terpaksa berjaga malam secara sukarela dari 10 malam hingga 3 pagi setiap hari demi keselamatan penduduk di kampung ini," katanya yang menambah kehadiran gajah liar di kampungnya telah berlaku sejak 2018.

Sementara itu, penoreh getah Mastura Mohd Shamsuddin, 35, pula berkata, waktu untuk pergi menoreh terpaksa dilewatkan ketika ini kerana takut terserempak dengan gajah liar yang berkeliaran di sekitar kawasan terbabit.

"Sebelum ini, setelah hantar anak ke sekolah, kira-kira 7 pagi saya akan pergi menoreh getah tetapi dalam seminggu ini jadual waktu saya terpaksa berubah kepada 8 pagi kerana takut terjumpa gajah.

"Baru-baru ini saya telah terserempak dengan gajah kerana saya ingatkan benda yang saya lihat itu adalah kenderaan jenis Toyota Hilux tetapi rupa-rupanya beberapa ekor gajah liar berada dekat dengan kebun getah saya," katanya yang memaklumkan jarak rumahnya ke kebun getah kira-kira empat kilometer.

Bagi pekebun, Mohd Rosmizi Rosli, 34, berkata, dia mengharapkan agensi berkaitan supaya menempatkan beberapa anggota untuk 'bermalam' di kampung berkenaan bagi memantau keadaan sekeliling dan mengambil tindakan selanjutnya.

"Cadangan saya kepada agensi berkaitan supaya menempatkan beberapa petugas mereka bersama kami berjaga pada waktu malam kerana sekurang-kurangnya mereka boleh tahu bila waktu haiwan ini akan keluar.

"Kami tidak mempunyai ilmu mengenai haiwan liar, hutan dan sebagainya, jadi kami harap mereka yang pakar mengenai perkara ini turut serta bersama kami menjaga ketenteraman dan keselamatan penduduk," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, kakitangan Perhilitan Daerah Kuala Krai dan UTG Negeri Kelantan telah menjalankan kawalan dan tembak halau gajah liar berkenaan supaya kembali semula ke hutan berdekatan.

Katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan gajah masih berada di kawasan kampung berkenaan antaranya pengecilan kawasan habitat hidupan liar tersebut serta sumber makanan yang mudah diperoleh di kawasan kampung kerana penduduk mengusahakan tanaman tebu, timun dan pisang.

"Selain itu, terdapat kebun yang semak samun dan tiga keadaan ini mendatangkan risiko lebih tinggi kepada gangguan gajah-gajah liar ini.

"Perhilitan telah memberi khidmat nasihat kepada penduduk kampung supaya memasang unggun api di kawasan kediaman masing-masing dan di laluan gajah liar masuk ke kampung serta kebun selain sentiasa membersihkan kawasan kediaman, ladang dan kebun," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!