Bekas Panglima Tentera Darat ke-11 meninggal dunia

Foto Facebook rasmi ATM
Foto Facebook rasmi ATM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Angkatan Tentera ke-11, Jen (B) Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid, 83, meninggal dunia awal pagi Khamis di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memaklumkan, Allahyarham dimasukkan ke HTTM pada 25 Mei lepas dan kesihatannya mulai merosot pada Rabu dan meninggal dunia pada 2.15 pagi Khamis.

"Jenazah akan disolatkan di Masjid Khalid Al Walid di Kementerian Pertahanan di sini selepas zuhur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sakinah Raudah, Sungai Besi petang nanti,” menurut kenyataan itu.

Abdul Rahman menyertai ATM pada 1955, dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera pada April 1992 dan bersara pada Februari 1994.

Abdul Rahman meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rosilah Ahmad dan empat orang anak.

Sementara itu dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi ATM, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera, Puan Sri Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Ahmad Shah serta seluruh warga ATM merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

"Hanya ALLAH SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa-jasa Allahyarham. Marilah kita bersama-sama membaca ummul kitab Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” menurut hantaran itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!