Selesaikan dahulu masalah rakyat sebelum PRU15

Rakyat yang kini dihimpit kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup. - Gambar hiasan 123RF.
Rakyat yang kini dihimpit kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup. - Gambar hiasan 123RF.
A
A
A
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal bagi menyelesaikan isu rakyat yang kini dihimpit kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup, mendapat pelbagai reaksi.

Ada pihak yang menyokong kenyataan itu kerana ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk memikirkan hal berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ada isu yang lebih besar berada di hadapan kita yang memerlukan penyelesaian lebih menyeluruh. Bermula dengan masalah bekalan ayam, kemudian kenaikan harga ikan, harga minyak masak sawit yang melampau hinggalah kepada nilai ringgit yang makin mengecut, semuanya memerlukan satu kesepaduan daripada pimpinan kerajaan dan pihak pembangkang untuk menyelesaikan isu tersebut.

Setiap hari ada sahaja laporan mengenai kenaikan harga barang dan terkini dilaporkan peniaga buah terpaksa menaikkan harga jualan kerana tidak mampu menampung kenaikan harga yang ditetapkan oleh pembekal.

Golongan mewah yang dahulunya dilihat tidak terkesan dengan situasi ketika ini juga mula merungut apabila tidak lagi mampu untuk mengisi minyak RON97 yang sudah mencecah harga pada RM4.70. Mereka juga bersama-sama menikmati minyak petrol RON95 iaitu RM2.05 seliter dengan subsidi daripada kerajaan.

Itu belum lagi diselami cabaran dihadapi ibu bapa yang anak-anak mereka sedang bersekolah kerana kos untuk menyekolahkan anak-anak juga meningkat secara mendadak bermula daripada kos pengangkutan, wang saku dan peralatan persekolahan termasuk pakaian seragam.

Banyak sebenarnya masalah rakyat yang perlu diberikan perhatian kerana situasi semasa pasca pandemik amat menekan golongan rakyat pelbagai peringkat.

Jika mahu melihat betapa banyak dan besarnya cabaran dihadapi rakyat ketika ini, pemimpin kerajaan serta pembangkang boleh turun padang mendengar sendiri keluhan mereka. Turun dan lihatlah dengan mata kepala sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!