'Hentikan perbicaraan melalui media'

Zambry
Zambry
A
A
A

IPOH - DAP diminta menghentikan sebarang tindakan perbicaraan melalui media (trial by media) terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sehingga proses audit terhadap projek Movie Animated Park Studios (MAPS) selesai.

Zambry yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKNP) berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah PCB Bhd untuk melantik firma audit Price Waterhouse bagi menjalankan proses audit ke atas projek MAPS bagi memastikan ia dijalankan mengikut urus tadbir betul.

Bagaimanapun, beliau kesal dijadikan sebagai sasaran kerajaan PH dan DAP Perak dengan melemparkan pelbagai tuduhan, serta mendakwa dirinya bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan projek itu.

"Tuduhan serta dakwaan ini dibuat sebelum proses audit oleh firma berkenaan dimulakan. Laporan audit tersebut masih lagi dalam pelaksanaan.

"Jadi adalah tidak adil bagi pengerusi Jawatankuasa Audit PCB Bhd, Chong Zhemin membuat tuduhan serta dakwaan membabitkan saya, yang tidak terlibat dalam urusan PCB Bhd ataupun anak syarikatnya ATP Sdn Bhd," katanya kepada media di sini hari ini.

Zambry berkata, pihaknya mempersoalkan sama ada proses audit sedang dijalankan dibuat secara profesional atau hanya proses audit melalui media memandangkan setiap hari Zhemin mengeluarkan kenyataan mengenainya meskipun proses audit belum selesai.

Menurutnya, tindakan Zhemin yang juga ADUN Keranji dari DAP seolah-olah mahu membuat perbicaraan melalui media (trial by media).

"Ini jelas menunjukkan perkara ini dibuat bukan untuk mendapatkan kebenaran dan hanya sebagai satu cara DAP melaksanakan dendam politik mereka terhadap saya dan kerajaan BN dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga adalah satu cubaan DAP memutarbelitkan isu ini bagi tujuan politik dan bukannya untuk kepentingan umum," katanya.

Zambry berkata, Kerajaan PH Perak dan DAP sepatutnya memandang ke hadapan dan bertindak sebagai kerajaan dan bukan lagi menjadi sebuah kerajaan yang bermentaliti pembangkang.

"Apatah lagi ketika sidang DUN yang akan diadakan pada bulan April, kerajaan PH perlu mengalih pandang kelemahan serta kekurangan dalam pentadbiran mereka.

"Oleh itu saya dijadikan sebagai faktor untuk mengalih pandang perhatian rakyat termasuk kegagalan mereka memenuhi janji dan manifesto," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!