MOSTI lancar e-Beca guna teknologi tenaga solar
KUALA TERENGGANU - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan inovasi beca elektrik (e-Beca) yang menggunakan teknologi boleh dicas melalui tenaga solar bagi membantu pengayuh beca sekaligus merancakkan industri pelancongan.
Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, buat permulaan seramai tiga pengayuh beca bertuah telah dipilih sebagai perintis menggunakan e-Beca di Terengganu, manakala hampir 20 pengayuh lain dijangka menggunakan inovasi sama dalam masa terdekat.
"E-Beca ini dinaiktaraf dengan menggunakan paparan skrin diod pemancar cahaya (LED) bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio menarik yang mampu merancakkan industri pengayuh beca di Kuala Terengganu.
"Hasil inovasi ini, pendapatan pengayuh beca dapat ditambah baik dengan peningkatan jumlah pelancong dan bilangan kayuhan (rides) selain meningkatkan pendapatan," katanya selepas melancarkan Inovasi Beca Terengganu (e-Beca) di Dataran Syahbandar di sini pada Khamis.
Menurut Ahmad Amzad, idea e-Beca dicetuskan menerusi inisiatif di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Inovasi Inklusif, yang mana SME Corp merupakan pembiaya program utama dan MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bertindak sebagai agensi pelaksana dengan menganjurkan Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 secara dalam talian semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, pertandingan inovasi itu merupakan salah satu pendekatan kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan beca di Terengganu dengan mengenal pasti inovasi prototaip beca berteknologi tinggi, mesra pengguna dan bercirikan norma baharu yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha beca.
"Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul juara dalam pertandingan ini dan memenangi Geran HIP 6 yang berjumlah RM90,000 meliputi aspek pembangunan model, pengkajian model, pengujian model dan pembangunan model kebolehpasaran pembangunan industri beca di Kuala Terengganu.
"Melalui geran ini, salah satu projek diusahakan UTeM adalah menghasilkan tiga buah e-Beca mempunyai ciri-ciri mesra alam yang dilancarkan hari ini.
"Harga e-Beca ini adalah kira-kira RM15,000 dan selain mampu memendekkan tempoh masa perjalanan, inovasi baharu ini juga mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang perkhidmatan beca," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!