Speedy Tigers perlu lebih banyak perlawanan

Para pemain Speedy Tigers ketika menggalas cabaran negara pada saingan Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia. Foto Bernama
Para pemain Speedy Tigers ketika menggalas cabaran negara pada saingan Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia. Foto Bernama
A
A
A

THE SPEEDY Tigers perlu berdepan dengan sebanyak mungkin pasukan-pasukan berkelas A sebagai persediaan bagi mengharungi kejuaraan hoki Piala Dunia 2023 di India, Januari depan.

Menurut legenda hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, saingan Piala Dunia sememangnya amat berbeza dengan kebanyakan kejuaraan lain kerana mutu permainan ditampilkan berlainan selain berlangsung pada tahap tinggi.

Justeru katanya, persiapan untuk mengharungi kejuaraan perlu dimulakan sekarang bagi menyediakan pasukan yang benar-benar mantap menjelang kejuaraan yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 29 Januari tersebut.

“Hoki Piala Dunia bukan macam Sukan Olimpik kerana 16 negara terbaik di dunia akan bertanding. Di Sukan Olimpik pun bukan 12 negara terbaik kerana ia hanya mewakili lima benua dari Amerika, Afrika, mungkin Asia, Oceana atau Eropah.

“Di Piala Dunia hanya pasukan terbaik sahaja yang ada dan dalam kalangan pasukan terbaik itu ada corak permainan dari Asia, Oceana, Afrika, Eropah dan sudah pasti yang paling hebat adalah dari Eropah.

“Gamenya berbeza, tahapnya tinggi. Macam kita main di Piala Asia, tahapnya tak tinggi...tak setinggi ketika berdepan Belgium, Jerman, Belanda kerana inilah pasukan yang di label sebagai pasukan kelas A dunia dan itulah pasukan-pasukan yang akan kita hadapi di Piala Dunia nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

The Speedy Tigers kendalian Arul Selvaraj sebelum itu mengesahkan slot ke Piala Dunia secara merit apabila mara ke Super 4 Piala Asia 2022 bersama-sama Jepun, Korea Selatan dan India yang mara selaku tuan rumah.

Keempat-empat pasukan ini akan menyertai 12 lagi pasukan seperti Belgium, England, Jerman, Belanda, Sepanyol, Perancis, Wales, Afrika Selatan, Argentina, Chile, Australia dan New Zealand dia Piala Dunia 2023. Untuk rekod, ia juga merupakan penampilan kesembilan Speedy Tigers ke Piala Dunia sejak menamatkan saingan pada kedudukan ke-11 di edisi 1973, 1975 (keempat), 1978 dan 1982 (ke-10), 1998 (ke-11), 2002 (kelapan), 2014 (ke-12) dan 2018 (ke-15).

Mengulas lanjut, Nor Saiful Zaini berkata, The Speedy Tigers perlu memiliki pasukan yang benar-benar mantap kali ini bagi mengharungi saingan getir pada Piala Dunia.

Katanya, persediaan mental dan fizikal juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan para pemain benar-benar bersedia untuk mengharungi cabaran sengit di Piala Dunia.

“Penting sebenarnya untuk kita ada team yang kuat dari segi tubuh badan, pemikiran termasuk persediaan terhadap taktikal dan teknikal.

“Semua ini perlu disiapkan mulai sekarang dan dalam tempoh tujuh bulan ini kesemua aspek melibatkan fizikal mental, pemakanan, psikologi, teknikal dan taktikal perlu dipersiapkan termasuk persediaan game situation dengan melakukan banyak perlawanan luar dengan pasukan handalan dunia, baru boleh ukur tahap persediaan kita.

“Untuk Piala Asia kali ini pun sebenarnya bukan ukuran sebenar prestasi pasukan kerana tak banyak pasukan yang menghantar pasukan utama mereka.

“Mungkin kejohanan seperti Sukan Komanwel, Piala Sultan Azlan Shah nanti boleh dijadikan sebagai medium untuk ukur tahap persediaan sebelum kembali semula berdepan dengan pasukan-pasukan handalan dunia sebagai persiapan untuk mengharungi Piala Dunia 2023,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!