[VIDEO] 3 beranak dapat tunai haji bersama
BUKIT GANTANG - Berkat kesabaran menunggu selama dua tahun akibat Covid-19, sepasang suami isteri terharu apabila terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Pemergian guru, Noor Huda Abdullah, 54, dan suami, Marzuki Othman, 56, itu akan turut ditemani anak sulung mereka, Aida Afiqah, 23, dan dijangka berlepas ke Tanah Suci pada 8 Jun ini.
Menurut Noor Huda, pada mulanya dia bimbang mereka tidak dipilih berikutan kuota haji negara adalah sebanyak 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini.
“Awalnya memang kami bertiga dan seorang lagi anak dipilih untuk menunaikan haji pada tahun 2020 namun tertangguh akibat pandemik Covid-19, dan tahun lalu kami dipanggil untuk terima suntikan tetapi tidak dapat pergi juga.
“April lalu kerajaan umumkan kuota yang sediakan sedikit dan kami pada awalnya agak bimbang hinggalah mendapat mesej memaklumkan kami dipilih, barulah kami lega. “Cuma anak lelaki terpaksa tangguhkan ibadah ini atas sebab tertentu dan dijadualkan akan pergi pada tahun 2026,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Meraikan Bakal Haji Parlimen Bukit Gantang di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, menurut Noor Huda, meskipun sibuk menguruskan pekerjaan hakiki sebagai petugas barisan hadapan, mereka tetap meluangkan masa untuk mendalami ilmu sebagai persediaan memperoleh haji mabrur.
“Perasaan ketika ini terlalu seronok dan bersyukur kerana dipilih menjadi tetamu ALLAH SWT selepas dua tahun terkandas.
“Ia juga menjadi momen terindah kerana tarikh penerbangan itu merupakan hari jadi anak saya, jadi sepanjang minggu ini dia sangat teruja,” ujar Noor Huda.
Noor Huda turut menasihatkan ibu bapa untuk membuka awal akaun Tabung Haji agar anak-anak mereka berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima itu pada usia muda.
“Seawal usia dua tahun saya bukakan akaun Tabung Haji untuk keempat-empat anak saya kerana mahu menunaikan ibadah itu bersama.
“Saya bersyukur impian itu termakbul,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!