Penamat ‘kitaran’ pemain Itali
KEKALAHAN 0-3 kepada Argentina pada aksi Finalissima di Wembley pada Khamis, disifatkan sebagai penamat kepada ‘kitaran’ pemain Itali.
Pendapat itu disuarakan pengendali Azzurri, Roberto Mancini yang menyifatkan banyak kerja yang perlu dilaksanakan selepas ini untuk masa depan bola sepak Itali.
“Bagi saya, kekalahan ini mungkin memberikan petanda berakhirnya ‘kitaran’ pemain untuk skuad Itali kali ini.
“Mungkin skuad ini akan berwajah baharu selepas ini atau mungkin juga ia bakal menyaksikan khidmat saya tidak diperlukan lagi.
“Apa pun, secara keseluruhannya, memang banyak kerja serta penambahbaikan yang perlu dijalankan oleh semua pihak bagi memastikan kebangkitan semula pasukan ini,” katanya.
Kegagalan di Finalissima pada Khamis menjadi kegagalan besar kedua buat skuad Azzurri setelah gagal layak beraksi di Piala Dunia Qatar 2022.
Setelah muncul juara Euro 2020 tahun lalu, skuad Azzurri mempamerkan aksi tidak konsisten pada aksi kelayakan Piala Dunia hingga gagal mengesahkan slot ke Qatar.
Mengulas kekalahan 0-3 kepada Argentina, Mancini berkata, dia menerima kekalahan berkenaan sambil menyifatkan skuad La Albiceleste itu beraksi lebih baik pada perlawanan berkenaan.
“Mereka (Argentina), ternyata beraksi lebih baik berbanding kami. Memang kami berjaya memberikan saingan pada separuh masa pertama.
“Namun, ia ternyata masih belum mencukupi untuk kami bangkit pada separuh masa kedua dan malah turut menyaksikan jaringan ketiga oleh Argentina bagi memastikan kemenangan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!