SPRM buka dua kertas siasatan projek pembinaan MRT

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap kepada pemberita semasa Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM pada Khamis. - Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap kepada pemberita semasa Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membabitkan Transit Aliran Massa (MRT).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan sejak Mac lalu iaitu sebelum laporan mengenai pihak berkuasa Perancis menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek MRT bernilai RM692 juta beberapa tahun lalu.

"Dalam siasatan terbabit, kita juga sudah membuka dua kertas siasatan.

"Skop siasatan berkenaan isu rasuah yang sudah berlaku dan sudah dibayar kepada pihak tertentu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemantapan Wartawan Bersama SPRM, di sini pada Khamis.

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu pihaknya sentiasa terbuka untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat elemen pemberian rasuah dalam projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membabitkan MRT.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek MRT bernilai RM692 juta yang berlaku beberapa tahun lalu.

Mengulas berhubung kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Azam berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

"Kita sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan yang timbul dan kertas siasatan juga telah disiasat kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

Azam enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan itu.

"Kita sudah melengkapkan siasatan dan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan setakat ini kita menunggu arahan selanjutnya,"katanya.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan Azam berkata siasatan itu merupakan prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.

Mohd Nazlan sebelum itu membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!