Teman lelaki mangsa dibunuh, dibakar dipanggil beri keterangan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mior Faridalathrash
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Polis telah memanggil teman lelaki wanita yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar dipercayai dibunuh di tepi Sungai Kuala Kangsar dekat Kampung Talang, Kuala Kangsar pada Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 20 tahun dan tidak bekerja itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar sekitar jam 2.45 petang Rabu, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh berdasarkan kesan kebakaran dan kecederaan yang ditemui di kepala mangsa.

"Kita sudah panggil teman lelaki mangsa, tetapi belum dapat dipastikan sama ada lelaki terbabit adalah individu terakhir ada bersama mangsa.

"Sekarang ini, ada macam-macam spekulasi timbul termasuklah mengatakan bahawa mangsa ini mengandung dan sebagainya.

"Perkara itu masih belum dapat dipastikan lagi setakat ini. Biarlah kita selesaikan siasatan dahulu dan menunggu laporan penuh hasil bedah siasat oleh pakar forensik sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Majlis Penganugerahan `Pride Of Workmanship’ oleh Kelab Rotary Malaysia (Rotary District 3300 Malaysia) kepada petugas barisan hadapan Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama, Gabenor Kelab Rotary Malaysia (Rotary District 3300 Malaysia), Datuk Bindi Rajasegaran.

Mior Faridalathrash berkata, pengesahan identiti mangsa dapat dibuat dalam masa terdekat selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan padanan gigi mangsa dengan rekod pergigian diperoleh.

"Selepas sudah kenal pasti mangsa, kita akan mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian," katanya.

Mayat dengan kesan luka di kepala itu dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum dijumpai orang awam dalam keadaan terbakar di tepi sungai berkenaan sekitar jam 3.05 petang pada Selasa.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, seramai 94 pegawai dan anggota kontinjen Perak menerima pengiktirafan daripada Rotary District 3300 Malaysia atas jasa dan sumbangan mereka yang bertugas sepanjang tempoh pandemik Covid-19 lalu.

Katanya, sumbangan yang diberikan itu amat besar maknanya kepada pasukan beruniform berkenaan yang sama-sama bertanggungjawab memerangi Covid-19 daripada terus menular.

"Kita amat berterima kasih dengan Rotary District 3300 Malaysia yang mengiktiraf khidmat bakti polis sebagai petugas barisan hadapan menghadapi bahaya Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!