MOSTI perluas program Malaysia Techlympics ke zon pantai timur
KUALA NERUS - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Khamis memperluas program Malaysia Techlympics ke Zon Timur sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keempat di Terengganu bermula Khamis hingga Sabtu.
Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah itu diharap dapat melonjakkan lagi minat golongan pelajar dan belia dari pantai timur untuk menyertai inisiatif berteraskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
"Program ini diharap dapat mencungkil bakat pelajar untuk terus mencipta idea dan inovasi baharu selaras dengan agenda Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi.
"Pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kini semakin menyeronokkan kerana penyampaian interaktif termasuk sesi bengkel, webinar dan kuiz yang dijalankan secara dalam talian sebagai usaha melahirkan generasi inovator," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Malaysia Techlympics 2022 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lepas yang memberi peluang kepada rakyat berusia tujuh hingga 30 tahun menyertai pelbagai jenis pertandingan dan sesi perkongsian STI anjuran MOSTI.
Sebanyak 25 pertandingan berdasarkan lima tema dirancang bermula April hingga November depan.
Peserta akan menjalani pusingan kelayakan di peringkat sekolah, daerah, zon, negeri dan seterusnya pertandingan akhir di peringkat kebangsaan pada November nanti.
Pertandingan tersebut tertumpu kepada beberapa bidang antaranya kejuruteraan, pengkomputeran dan mikrokomputer, nano, internet kebendaan, robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif dan animasi serta pencetakan dan pembangunan tiga dimensi.
Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, Terengganu tidak pernah ketandusan bakat dalam bidang inovasi dan ini terbukti dengan kejayaan beberapa sekolah di peringkat dunia seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut (teknologi nuklear), SMK Megat Panji Alam dan SM Imtiaz Kuala Terengganu.
"Malaysia Techlympics terus membantu mereka menggilap bakat, malah prototaip yang hebat akan dikomersialkan kerana ia perlu dimanfaatkan untuk mengatasi permasalahan rakyat sekali gus menjana pendapatan untuk mereka terlibat dalam inovasi itu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!