Empat beranak nyaris rentung rumah terbakar
PETALING JAYA - Empat beranak nyaris rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Apartmen Batu 6 1/2, Taman Petaling Utama di sini pada Khamis.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah malam ketika semua mangsa sedang tidur.
"Mangsa yang merupakan seorang ibu berusia 36 tahun itu bagaimanapun sempat menyelamatkan diri bersama tiga anaknya yang berumur antara dua hingga enam tahun ketika kejadian.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala dan BBP Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 12.20 tengah malam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, kebakaran melibatkan unit rumah apartmen di tingkat tiga.
"Anggota bomba segera menjalankan kerja pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam.
"Anggaran kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan sebanyak 30 peratus," katanya.
Menurutnya, tiada mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian kerana sempat menyelamatkan diri.
"Setakat ini tiada mangsa yang cedera, penghuni rumah sempat menyelamatkan diri.
"Punca dan anggaran kerugian akibat kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!