KPLB bantu penternak ayam luar bandar, perkasa sekuriti makanan
KOTA TINGGI - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membantu penduduk luar bandar yang terlibat dengan ternakan ayam bagi meningkatkan skala penternakan serta menambah jumlah pengeluaran bekalan ayam di pasaran bagi menangani masalah kekurangan bekalan makanan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan itu turut akan diberikan kepada petani yang mengusahakan tanaman makanan ternakan.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan usaha memperkasakan sekuriti makanan negara menerusi pelan jangka pendek yang diputuskan kabinet pada bulan lalu.
"Penduduk kampung yang ternak ayam dan usahakan tanaman makanan ternakan, kita bersetuju untuk bantu perluaskan perusahaan mereka itu menerusi skim galakan bersesuaian.
"Itu (perusahaan penduduk kampung) adalah pelan jangka pendek bagi memastikan kekurangan bekalan makanan khususnya ayam segar dapat ditangani," katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Tanjung Balau di sini pada Khamis.
Menurut Mahdzir, antara agensi di bawah KPLB yang terlibat dengan program berkenaan termasuk Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
"Kerajaan ada menyediakan dana sebanyak RM500 juta di bawah ‘Skim Agro Food Facilities’ yang boleh digunakan bagi memperkasakan lagi perusahaan penduduk kampung dan juga agensi KPLB itu.
"Contohnya, jika ada penduduk kampung atau agensi KPLB usahakan 30,000 ekor ternakan ayam kita akan bantu supaya ia dapat ditingkatkan lebih banyak bagi menjayakan pelan jangka pendek bekalan makanan negara," katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KPLB menumpukan kepada pelan jangka pendek pelan sekuriti makanan negara sebagai langkah segera bagi memastikan isu kekurangan bekalan dapat segera diatasi.
"Selepas mesyuarat kabinet mengenai pelan jangka pendek dalam isu kekurangan bekalan bulan lalu, saya dan pengurusan tertinggi kementerian bersetuju untuk memperkasakan agensi KPLB dalam industri agro makanan.
"Kita akan bantu dan sokong kerajaan bagi memastikan pelan jangka pendek sekuriti makanan negara dapat direalisasikan," katanya.
Sinar Harian pada 23 Mei lalu melaporkan bahawa Malaysia menghentikan pengeksportan 3.6 juta ekor ayam sebulan berkuat kuasa 1 Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam di dalam negara kembali stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!