Kiosk bantuan ekspress bantu warga kota terputus bekalan makanan
KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) mewujudkan 'Kiosk Bantuan Ekspress' sebagai usaha membantu warga kota yang terputus bekalan makanan.
Yang Dipertua DPMUM, Muhammed Ismail Abdul Haiyee berkata, program berbentuk gerobok rezeki itu dilaksanakan sejak Disember lalu di lapan buah masjid.
Menurutnya, program tersebut mendapat tajaan daripada syarikat korporat selama setahun yang mana tujuh daripadanya ditaja CIMB Foundatian dan satu daripada Active Network Security Services Sdn Bhd.
"Masjid terlibat adalah Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Masjid Jamek Saad Abi Waqqas, Masjid Saidina Ali, Masjid Zaid Harithsah, Masjid Bilal Rabah, Masjid Al-Hidayah, Masjid Pekan Sentul dan Masjid Ar-Rahah Bangsar.
"Besar harapan kami supaya usaha murni ini dapat diperluaskan ke masjid-masjid lain melalui penajaan daripada syarikat korporat yang berminat untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada golongan memerlukan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, setiap masjid menerima 40 set bakul makanan keperluan asas termasuk beras dengan peruntukan RM1,500 sebulan.
Tambahnya, program tersebut dikhususkan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira status golongan B40, asnaf mahupun yang hilang pekerjaan asalkan datang ke masjid memohon bantuan.
"Pandemik Covid-19 menyebabkan banyak golongan terjejas hingga ada yang terpaksa meminjam ahlong untuk meneruskan kehidupan.
"Matlamat kita adalah membantu seramai yang boleh dan mahu menjadikan masjid sebagai tempat menghulurkan bantuan," katanya.
Katanya, syarikat korporat yang berminat boleh memilih tempoh pakej tajaan bekalan antara tiga bulan hingga dua tahun.
Ujarnya, pihak yang berminat untuk menyertai program itu boleh menghubungi Sekretariat DPMUM di talian 03-41086313
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!