Penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2021 meningkat

Chamil (sembilan dari kanan) bergambar bersama penyumbang ketika Majlis Meraikan Para Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2022 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Chamil (sembilan dari kanan) bergambar bersama penyumbang ketika Majlis Meraikan Para Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2022 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Press Institute (MPI) menerima sumbangan RM394,500 daripada 45 organisasi bagi menjayakan penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, MPI telah menerima sumbangan dan penajaan daripada pihak korporat, kementerian, agensi kerajaan dan organisasi media untuk MWM yang diadakan di Hotel Shangri-La di sini pada 24 Jun ini.

Menurutnya, MPI turut menerima tajaan bernilai RM300,000 dari Petronas selaku penaja utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2021.

“Apa yang membanggakan, jumlah penaja dan penyumbang meningkat tahun demi tahun dan bukti bahawa MWM kekal sebagai produk MPI yang diberi sokongan di kalangan warga korporat dan agensi kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Para Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2022 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sokongan melalui penajaan adalah bukti karya-karya cemerlang yang telah dihasilkan wartawan diiktiraf tahun demi tahun.

“Sebanyak 17 kategori dipertandingkan dengan 350 penyertaan untuk merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia 2021 berbanding hanya 122 penyertaan pada tahun 2020,” katanya.

Chamil yang juga Pengerusi MWM 2022 berkata, dari segi organisasi media sebanyak 43 pertubuhan berita telah mengemukakan penyertaan masing-masing mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia tidak lagi dimonopoli oleh media lama atau media legasi, tetapi turut disaingi oleh media alam maya dan jangan terkejut media alam maya akan membolot sebahagian besar hadiah wang tunai yang ditawarkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Petronas atas penajaan Hadiah Kewartawanan Malaysia yang sudah memasuki tahun ke-28.

“Terima kasih juga kepada Ambank Malaysia Berhad; EXIM Bank (M) Berhad; SME Bank; Tenaga Nasional Berhad (TNB), Berjaya Corporation Berhad dan Prasarana Malaysia Berhad kerana menaja selama tujuh hingga 10 tahun berturut-turut untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!