Hamzah lawat Erdogan, bincang perluas kerjasama strategik

Hamzah ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Erdogan di Istana Presiden Republik Turki, Ankara, Selasa lalu.
Hamzah ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Erdogan di Istana Presiden Republik Turki, Ankara, Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden Republik Turki, Ankara, Selasa lalu.

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, dalam pertemuan tersebut, Hamzah merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada Presiden Republik Turki atas kesudian untuk menerima kunjungan hormat beliau.

Beliau turut menyifatkan layanan istimewa diberikan sebagai tanda persaudaraan akrab antara Malaysia dan Republik Turki.

"Sesi kunjungan hormat itu antara lain membincangkan secara mendalam berkenaan inisatif untuk memperluas kerjasama strategik sedia ada dan berkongsi pengalaman, khususnya dalam aspek pemerkasaan kawalan sempadan negara.

“Memandangkan Republik Turki mempunyai kepakaran tinggi dalam menangani pencerobohan warga asing di sempadan, beberapa lawatan khas bagi melihat pengurusan, teknologi, aset-aset strategik serta lokasi operasi tumpuan telah diaturkan secara khusus oleh Kerajaan Republik Turki yang diselaraskan oleh Menteri Dalam Negeri Republik Turki,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Turut hadir pada pertemuan itu, Menteri Dalam Negeri Republik Turki, TYT Süleyman Soylu.

Jelas kenyataan itu, sebagai rakan strategik utama dan negara pempamer terbesar bagi Pameran Defense Security Asia (DSA) 2022 dan Pameran NasionalSecurity Asia (NATSEC) 2022 di Kuala Lumpur, Republik Turki juga diiktiraf mempunyai teknologi, sistem dan aset keselamatan bertaraf dunia.

“Lawatan kerja rasmi ini akan menjadi penanda aras utama bagi KDN dalam menambah baik dasar, penguatkuasaan dan aset-aset strategik kawalan sempadan negara," kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!