329 produk kesihatan dirampas

Pegawai CPF menjalankan pemeriksaan di sebuah premis yang menjual produk kesihatan tidak berdaftar di sini.
Pegawai CPF menjalankan pemeriksaan di sebuah premis yang menjual produk kesihatan tidak berdaftar di sini.
A
A
A

KAJANG - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 329 produk kesihatan tidak berdaftar yang dianggarkan bernilai RM295,000 menerusi serbuan ke sebuah premis perniagaan di sini, Selasa lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, serbuan dibuat Cawangan Penguatkuasaan Bahagian Perkhidmatan Farmasi (CPF) JKNS yang menjalankan perniagaan dalam talian menjual produk kesihatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati produk tersebut diiklankan melalui sebuah platform e-dagang terkenal di negara ini dengan tuntutan palsu kononnya ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Peraturan7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

"Sehubungan itu, JKNS menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual dalam talian serta memastikan produk yang dibeli mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!