K-KOMM bantu percepat inovasi pentauliahan mikro
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan memberi sokongan dalam mempercepatkan inovasi, seperti pelaksanaan pentauliahan mikro atau micro-credentials, yang akan memupuk kecekapan dan kemahiran yang lebih baik dalam kandungan dan komunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kursus pentauliahan mikro menawarkan peluang bagi pelajar dewasa untuk menghubungkan kursus latihan, menyusun kursus pentauliahan mikro mereka dan memperoleh kredit pemindahan untuk program akademik bertauliah yang ditawarkan oleh universiti.
Beliau berkata, setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai pengaturan kerja untuk membangunkan program pentauliahan mikro dengan Universiti Multimedia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti UCSI.
Tumpuan program ini merangkumi ekosistem digital termasuk analisis data, pusat data, keselamatan siber dan servis awan, infrastruktur sambungan digital dan teknologi masa depan.
"Pembangunan kursus-kursus ini adalah satu blok penting untuk meletakkan asas pembangunan bakat secara berkesan untuk memacu pertumbuhan dalam ekonomi digital sambil merapatkan jurang digital, membina asas bagi penggunaan utiliti digital dan teknologi dalam menyokong objektif nasional.
"Juga untuk menyokong negara dalam mencapai status peneraju industri untuk bakat dan kepakaran digital, yang menyebarkan inovasi dalam ekosistem digital,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Pentauliahan Mikro (MCES) Malaysia 2022 anjuran Acestar Sdn Bhd di sini pada Khamis.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Acestar Natalie Sit berkata, kepentingan pentauliahan mikro perlu diberi penekanan dan pendedahan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda dan perlu bermula daripada sistem pendidikan untuk membentuk generasi yang lebih berdaya saing dan berkemahiran.
Beliau mencadangkan semua peringkat pendidikan perlu mempunyai pelan untuk akreditasi pentauliahan mikro dalam modul pendidikan di institusi masing-masing, sekali gus akan meletakkan standard pendidikan Malaysia kepada lebih dinamik dan setanding dengan negara maju.
MCES 2022 diadakan bersempena finale akhir Kejohanan Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia 2022 iaitu pemenang akan ditaja sepenuhnya oleh pihak penganjur untuk mewakili Malaysia bersaing di Kejohanan Dunia ACP di Amerika Syarikat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!