Ariff Aiman enggan dilabel 'key player'

Ariff Aiman (hadapan) berjaya melepasi kawalan pertahanan Hong Kong pada aksi persahabatan berkenaan. - Foto FAM
Ariff Aiman (hadapan) berjaya melepasi kawalan pertahanan Hong Kong pada aksi persahabatan berkenaan. - Foto FAM
A
A
A

PEMAIN sayap lincah, Ariff Aiman Mohd Hanapi enggan dilabel selaku pemain tonggak buat skuad Harimau Malaya ketika ini, sebaliknya menyifatkan kesemua pemain merupakan pemain tonggak buat pasukan berkenaan.

Menurut Ariff Aiman, dia hanya merupakan seorang pemain biasa dalam skuad kendalian Kim Pan-gon itu.

“Saya tak rasa saya ni sebagai 'key player', saya hanya pemain biasa. Lagi pun bagi saya semua pemain sebenarnya adalah 'key player' untuk pasukan ini.

“Selain itu, saya juga tidak ada rahsia apa-apa kerana menganggap bola sepak ini hobi dan memang saya minat sejak dahulu.

“Saya juga tidak lihat bola sepak ini memberikan beban kerana saya memang mahu menjadi pemain bola sepak dan ia memang minat saya sejak dahulu,” katanya setelah tamat aksi persahabatan berdepan Hong Kong pada Rabu.

Pada aksi berkenaan, Ariff Aiman dilihat mempamerkan aksi terbaik apabila sering mengkucar kacirkan benteng pertahanan pelawat dengan larian-larian pantas yang seringkali dilihat berjaya memerangkap pertahanan lawan.

Bagaimanapun, pemain berusia 20 tahun itu yang juga merupakan pemain paling muda dalam skuad Harimau Malaya kali ini tidak menjaringkan sebarang gol pada perlawanan berkenaan, biarpun memiliki peluang berbuat demikian.

Sementara itu, Ariff Aiman mengakui masih belum berpuas hati dengan aksi yang dipamerkannya pada aksi persahabatan berkenaan.

Katanya, masih banyak perkara yang perlu diperbaiknya menjelang aksi kelayakan sebenar kelak.

“Saya rasa, saya tidak berpuas hati dengan performance saya..banyak lagi yang perlu diperbaiki; namun saya akan sentiasa berikan yang terbaik apabila diturunkan.

“Lagi pun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), saya pernah beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan saya mahu ambil lagi pengalaman.

“Oleh itu, saya tak pernah letak saya berpuas hati kerana saya akan terus mencuba sampai saya rasa benar-benar puas hati,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!