Jangan lepaskan peluang cipta sejarah: Safiq

Safiq (kiri) mahu pemain memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri bagi menjamin kejayaan pada aksi kelayakan Piala Asia 2023. - Foto FAM
Safiq (kiri) mahu pemain memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri bagi menjamin kejayaan pada aksi kelayakan Piala Asia 2023. - Foto FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya diminta tidak melepaskan peluang untuk mencipta sejarah pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 dengan menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan kejayaan pasukan.

Menurut pemain berpengalaman negara, Safiq Rahim, kesebelasan pemain perlu memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri dalam usaha memastikan kejayaan kali ini.

“Semua pemain ‘dahagakan’ lagi kejayaan. Kini adalah peluang untuk pasukan negara mencipta sejarah.

“Oleh itu, jangan lepaskan peluang kerana kita main di tempat kita sendiri di depan peminat dan peluang ini takkan datang lagi.

“Pemain perlu jalankan tanggungjawab kita sebagai pemain dan seterusnya memastikan pasukan berjaya melangkah ke pusingan seterusnya selepas ini,” katanya setelah aksi persahabatan berdepan Hong Kong pada Rabu.

Pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad negara melakar kemenangan kedua apabila menewaskan Hong Kong 2-0 setelah menewaskan Brunei 4-0 pada aksi sama, 27 Mei lalu.

Kedua-dua kemenangan berkenaan diharap dapat menyuntik semangat pemain menjelang aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E yang menyaksikan skuad negara bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Untuk rekod, juara kumpulan atau lima pasukan terbaik yang menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku naib juara, berpeluang mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 kelak.

Sementara itu, Safiq berharap kedua-dua kemenangan berkenaan menjadi motivasi terbaik menjelang saingan sebenar aksi kelayakan berkenaan mulai 8 Jun dengan berdepan Turkmenistan.

“Alhamdulillah, kita dapat berikan yang terbaik pada dua perlawanan persahabatan ini dan memang ada kekurangan yang perlu kita perbetulkan.

“Masih ada masa untuk kita melakukannya sebelum perlawanan pertama nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!