Harga vaksin Covid-19 pasaran swasta tertakluk Akta 723
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengamal perubatan swasta dikehendaki mematuhi harga siling tersebut.
Menurutnya, merujuk Perintah PU(A)10/2022 bertarikh 15 Januari 2022 dan pindaan pada 20 Mei 2022, harga maksimum per dos yang ditetapkan bagi dua produk vaksin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan boleh dipasarkan dalam pasaran swasta adalah RM62 dan RM77 masing-masing untuk borong dan runcit.
“Dua vaksin itu adalah jenis CoronaVac Suspension for Injection SARCoV2 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dengan nombor pendaftaran MAL21036010ARZ dan MAL21046125ACSZ.
“Harga yang sama dikenakan terhadap ‘COVILO Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dengan nombor pendaftaran MAL21076098AZ,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut katanya, kos vaksinasi Covid-19 dalam pasaran swasta merangkumi caj-caj yang ditetapkan sendiri oleh pengamal perubatan dan hospital swasta terlibat.
Beliau berkata, ia termasuk fi konsultasi dalam jadual ketujuh di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] dan Caj Perkhidmatan.
“Selain itu, turut diambil kira, Caj Barangan Pakai Buang (Consumables) yang digunakan ketika mengendalikan suntikan vaksin Covid-19.
“Harga runcit maksimum yang ditetapkan sebelum ini tidak termasuk kos pengendalian perkhidmatan vaksinasi Covid-19.
“Oleh itu, kos akhir yang perlu dibayar oleh pengguna adalah merangkumi kos vaksin Covid-19 iaitu harga runcit maksimum yang ditetapkan, fi konsultasi dan kos pengendalian perkhidmatan vaksinasi iaitu Caj Perkhidmatan dan Caj Barangan Pakai Buang,” katanya.
Pada Selasa, Noor Azmi dilaporkan berkata, kerajaan tidak mengawal harga pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas yang terpaksa mendapatkan imunisasi itu di fasiliti kesihatan swasta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!