Pemuisi mahu ada undang-undang penggunaan bahasa Melayu

Radzuan Ibrahim
Radzuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) mendesak penguatkuasaan tegas dilaksanakan bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul selain memastikan ia digunakan secara meluas mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, pendekatan dakwah melalui gerakan ‘menasihat dan menegur’ seperti yang diperuntukkan dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 sudah tidak bersesuaian.

"Dengan adanya undang-undang khusus bagi menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu, usaha menggalakkan dan memastikan penggunaan bahasa kebangsaan ini dapat dilakukan dengan berkesan.

"Justeru Pemuisi akan bersama-sama DBP dan badan bukan kerajaan (NGO) bahasa, seni dan sastera menyokong usaha untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan menyeluruh dalam kalangan masyarakat di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut Radzuan berkata, sudah tiba masanya DBP diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu atau organisasi yang tidak menggunakan, patuh dan hormat bahasa itu termasuk menghadapkan mereka ke mahkamah untuk dikenakan hukuman setimpal.

Radzuan berkata, kerajaan juga perlu lebih tegas dalam melaksanakan dasar bahasa kebangsaan agar dapat digunakan secara menyeluruh.

"Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan penggunaan bahasa-bahasa lain tetapi dalam urusan rasmi, bahasa kebangsaan wajib digunakan.

"Pemuisi berharap setiap warganegara Malaysia menanamkan sikap positif terhadap bahasa kebangsaan dan perlu menganggap bahasa itu bukan bahasa orang Melayu sahaja, tetapi untuk semua warganegara Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu Radzuan turut menempelak kenyataan beberapa pemimpin termasuk bekas menteri kanan yang menghina bahasa Melayu dan memandang rendah tentang keupayaan bahasa itu.

Katanya, mereka yang menentang usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai golongan yang menghadapi krisis jati diri, bacul dan pengkhianat kepada bangsa dan negara.

"Malaysia satu-satunya negara yang boleh tawar menawar sesuatu yang jelas tercatat di dalam Perlembagaan bagi kepentingan politik, negara lain apa yang tercatat itu adalah satu kemestian yang perlu diikuti.

"Perjuangan bahasa sudah terlalu lama dan sentiasa maju dan mundur mengikut kehendak pemerintah serta ahli politik. Sudah sampai masanya gerakan yang bersungguh-sungguh untuk memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu dilancarkan dengan segera.

"Pemuisi akan sentiasa menyokong dan bersama-sama dengan DBP dalam menggerakkan usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat nasional mahupun antarabangsa," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!