'Saya hanya sempat mengucap selepas kereta dilanggar'
KUALA LUMPUR - Saya hanya sempat mengucap sebaik sahaja dilanggar, demikian luah mangsa kemalangan yang mendakwa kereta dipandunya dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Jalan Duta di sini pada Rabu.
Muhammad Hafriz Shariff Mohd Rashid, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 pagi ketika dia sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia hanya mampu berdoa agar sesuatu yang buruk tidak berlaku ke atas dirinya.
"Ketika kejadian, saya sedang memandu ke tempat kerja dan memang selalu gunakan laluan itu, sebelum tiba-tiba saya rasa hentaman dari bahagian belakang kereta.
"Saya tidak mampu buat apa-apa ketika itu dan hanya sempat mengucap. Kereta saya hilang kawalan sebelum merempuh tembok dan terbabas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Muhammad Hafriz Shariff berkata, tindakan pemandu treler tersebut yang terus berlalu setelah melanggar keretanya sepatutnya tidak berlaku.
"Saya kesal sebab pemandu treler tersebut terus berlalu sebaik sahaja melanggar kereta saya, dia tidak patut buat macam itu.
"Saya pula hanya ada sebuah kereta ini sahaja untuk saya berulang alik dari rumah ke tempat kerja, bila jadi macam ini memang susahlah saya hendak bergerak," katanya.
Tambah Muhammad Hafriz Shariff, dia bernasib baik kerana ada pihak yang sudi berkongsi video kejadian itu kepadanya.
"Mujur ada pemandu berhampiran yang berkongsi rakaman video kejadian yang diambil daripada kamera papan pemuka keretanya.
"Jadi menerusi rakaman tersebut, memang jelas menunjukkan treler tersebut terus pergi meninggalkan lokasi kejadian sebaik sahaja kereta saya dilanggar," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Saya mengesahkan kejadian tersebut dan satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!