Kegusaran pelabur antara punca nilai ringgit susut

Tengku zafrul
Tengku zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegusaran komuniti pelabur antarabangsa merupakan antara faktor sementara yang menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit ketika ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, hal itu menyebabkan pelabur memperuntukkan semula pelaburan dalam aset yang menjana hasil yang lebih tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan menyebabkan kejatuhan nilai pelbagai mata wang dunia, termasuk ringgit.

Menurutnya, prospek pertumbuhan China yang dijangka lebih lemah tahun ini akibat sekatan pergerakan di bandar-bandar utama negara itu telah melemahkan mata wang yuan yang seterusnya memberi impak kepada ringgit.

"Ini kerana jumlah dagangan Malaysia-China adalah besar, dengan eksport Malaysia ke China mewakili 10.7 peratus daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) (berbanding Indonesia: 2.1 peratus dan Thailand: 1.3 peratus)," katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-97 yang dikeluarkan pada Khamis.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, situasi ketegangan geopolitik dunia yang tidak menentu juga memberi tekanan kepada ekonomi seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, faktor tersebut dilihat sebagai sementara dan nilai mata wang ringgit dijangka kekal stabil dan terus mengukuh.

"Ringgit diuruskan secara aktif oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan turun naik ringgit adalah terkawal dan tidak keterlaluan supaya sektor ekonomi dapat membuat perancangan pelaburan dan perbelanjaan berdasarkan nilai ringgit yang lebih stabil.

"Sebenarnya, yang lebih penting ialah asas-asas kukuh dalam ekonomi kita, seperti prospek pertumbuhan ekonomi negara yang kekal teguh," katanya.

Menurutnya, pengembangan ekonomi Malaysia sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021, dan 5.0 peratus pada suku pertama 2022 akan terus mendorong pengukuhan nilai mata wang ringgit.

"Ini turut dicerminkan oleh analisis terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan perkembangan KDNK Malaysia sebanyak 5.75 peratus bagi tahun 2022, dipacu oleh permintaan terpendam dalam negeri dan permintaan luar yang terus kukuh," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kewangan yakin terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara yang teguh dan dijangka berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada 2022, sekali gus menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan telah menjalankan satu kaji selidik Bajet 2022 bagi mendapatkan maklum balas inisiatif yang telah dilancarkan sepanjang tahun.

"Kaji selidik bagi Bajet 2022 ini adalah terbuka buat umum dari 31 Mei hingga 17 Jun, 2022 dan sebarang maklum balas boleh diberikan di https://budget.mof.gov.my/manfaat/," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Bajet 2023 akan memberi tumpuan untuk mempromosikan dasar yang berfokuskan kepada prinsip persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), berasaskan pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.

Katanya penekanan kepada sasaran sifar karbon bersih akan memberi impak positif yang kukuh untuk pelaburan, serta dijangka menjana sehingga RM60 bilion dalam KDNK setahun dan 300,000 pekerjaan.

"Insentif cukai akan terus disemak untuk memberi ganjaran kepada penggunaan teknologi dan operasi perniagaan berfokus ESG dalam belanjawan yang akan datang. Bagi tahun ini, kerajaan telah memberikan insentif cukai untuk kenderaan elektirk (EV).

"Melalui Bajet 2023, skop insentif ini mungkin akan diperluaskan untuk produk dan teknologi lain yang menghasilkan kurang pelepasan GHG (gas rumah hijau)," tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!