Maut akibat serangan jantung sebelum terbabas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki maut akibat serangan jantung sebelum kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di Kilometer 24.9 Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (Elite) arah selatan pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.05 pagi apabila mangsa dipercayai memandu dari arah Klang menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Siasatan dijalankan mendapati, mangsa yang berumur 41 tahun itu dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada di lokasi kejadian.

"Kejadian mengakibatkan kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 017-3012621 atau 03-31872222.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!