Pengguna beratur panjang tunggu bas depan KLCC
KUALA LUMPUR - Pengguna bas Rapid KL perlu beratur panjang dan menunggu hampir setengah jam di hentian KLCC.
Tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati, situasi tersebut berlaku pada jam 6 petang dan 7 petang.
Bagaimanapun, keadaan kembali lengang sebaik bas tiba di lokasi dan didapati terdapat tiga bas menunggu kira-kira 10 minit di hentian itu.
Seorang pengguna, Kalsum Rasmadi, 47, situasi tersebut dihadapinya sejak setahun bekerja di Suria KLCC.
"Adakala perlu tunggu setengah jam dan ada masa sehingga dua jam bergantung kepada keadaan.
"Ketika Ramadan lalu, saya terpaksa buka puasa sambil berdiri menunggu bas," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, keadaan itu tidak dapat dielakkan disebabkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
"Jika ada laluan khas untuk pengangkutan awam sahaja mungkin waktu menunggu akan lebih cepat atau pihak Rapid KL boleh perbanyak bilangan bas pada waktu puncak," katanya.
Pada Rabu, seorang pengguna Twitter meluahkan rasa tidak puas hati apabila terpaksa menunggu bas hampir 55 minit di KLCC.
Pengguna Twitter tersebut juga memberitahu pengguna beratur panjang hingga 200 meter menunggu bas tiba.
Seorang lagi pengguna, Novianti Azwar, 40, berkata, walaupun beratur panjang tapi keadaan terkawal apabila ada kakitangan Rapid KL ditempatkan di hentian itu.
"Pada saya, tempoh menunggu 30 minit masih boleh diterima kerana kita tahu jalan di KL memang sesak. Kalau tambah bilangan bas pun hanya akan menambah kesesakan.
"Jika tidak boleh menunggu lama atau mahu cepat, pengguna mempunyai pilihan lain seperti menaiki Grab atau komuter," katanya.
Seorang lagi pengguna, Erni Nur Zulaikha Zainal, 22, berharap kekerapan bas khususnya laluan bernombor 303 dapat diperbanyak di lokasi itu.
"Harap jumlah bas ditingkatkan kerana masih ramai menggunakan bas selain perkhidmatan komuter.
"Walaupun tempoh menunggu agak lama, tetapi saya lebih senang naik bas kerana tidak perlu bersesak dan tidak perlu berhenti banyak stesen untuk sampai ke rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!