Polis tubuh unit khas cegah kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang

Jambatan Pulau Pinang.
Jambatan Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis menubuhkan satu unit tindakan khas melibatkan anggota trafik untuk meronda secara berkala di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) dalam usaha mencegah tindakan bunuh diri dengan terjun dari kedua-dua jambatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, secara purata seramai 77 orang di negeri itu membunuh diri dalam tempoh setahun sepanjang tiga tahun lepas iaitu di antara 2020 hingga Mei 2022 dan daripada statistik itu pula, sebanyak 20 kes adalah dengan cara terjun dari jambatan.

Beliau berkata, pihaknya turut membawa isu itu kepada pengetahuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan turut bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dalam mencari penyelesaian kepada insiden tersebut.

"Kes bunuh diri adalah isu sensitif termasuk kepada keluarga mangsa dan adalah sukar untuk kita menyatakan motif tindakan itu diambil sama ada (berpunca daripada) masalah peribadi, tekanan keluarga atau wang.

"Lebih perhatian dan kekerapan laporan bunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang juga boleh menyebabkan lebih ramai yang cuba membunuh diri dengan cara terjun dari situ," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata kesesakan luar biasa yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang dan JSAHMS sejak kebelakangan ini adalah disebabkan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan kedua-dua jambatan.

Beliau berkata, pihaknya yang turun padang selepas sering mendapat laporan daripada pengguna berhubung kesesakan itu mendapati jumlah kenderaan di kedua-dua jambatan meningkat sebanyak 15.9 peratus sepanjang bulan lepas berbanding Mei 2019.

"Saya sendiri turun padang sejak bulan lepas bagi memantau kesesakan luar biasa dan kami mendapati sebanyak 3.1 juta kenderaan menggunakan kedua-dua jambatan pada bulan lepas berbanding hanya 2.8 juta kenderaan pada Mei 2019.

"Berdasarkan statistik, kenderaan yang melalui semua jalan raya bertol di negeri ini meningkat sebanyak 5.7 peratus sepanjang Januari hingga Mei tahun ini iaitu 50.8 juta kenderaan berbanding tempoh sama pada 2019 (48 juta kenderaan),” katanya sambil menambah ini kerana orang ramai semakin yakin bahawa pandemik Covid-19 sudah terkawal dan rakyat kini bebas bergerak selepas tiada lagi sekatan.

Beliau berkata, isu kesesakan khususnya di Jambatan Pulau Pinang turut mendapat perhatian kerajaan negeri dan satu perjumpaan dengan pihaknya serta beberapa agensi akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik memandangkan ia berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat. - Bernama


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!