Pekerja kilang maut dilanggar pacuan empat roda

Keadaan motosikal milik mangsa yang remuk akibat kemalangan tersebut. - Foto ihsan PDRM
Keadaan motosikal milik mangsa yang remuk akibat kemalangan tersebut. - Foto ihsan PDRM
A
A
A
BENTONG - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah pacuan empat roda di Kilometer 4, Jalan Bentong menghala Raub pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, mangsa, Muhammad Nor Izad Abdul Karim, 22, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Bentong.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam, hasil siasatan polis mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 65 tahun dalam perjalanan dari arah Raub menghala Bentong.

"Dipercayai kenderaan itu telah masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar motosikal tersebut.

"Siasatan polis juga mengesyaki pemandu kenderaan itu memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan direman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 8 Jun ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya.

Dalam pada itu, Zaiham juga memohon kerjasama mana-mana pihak untuk tampil membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!