Pelajar lemas ketika mandi di sungai
KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditemukan mati lemas ketika mandi-manda di Sungai Terengganu di Kampung Teluk Pasu di sini, pada Khamis.
Mayat Muhammad Izha Amzar Anuar ditemukan di kedalaman lima meter di dasar sungai pada pukul 7.15 malam, selepas mangsa dilaporkan lemas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan ke lokasi berkenaan bersama tujuh sahabatnya kira-kira jam 5 petang.
"Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.54 petang," katanya di sini pada Khamis.
Menurut Muhammad Basri, jasad mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manir berjaya ditemui sebelum disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!