Kementerian Pertahanan, ATM doakan kesejahteraan Agong, Raja Permaisuri
SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendoakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah agar terus dirahmati usia, dilindungi dari segala keburukan dan dipermudahkan setiap urusan.
Mewakili Kementerian Pertahanan dan ATM, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis memaklumkan, ketibaan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong bagi menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Khamis.
“Merafak sembah menjunjung kasih Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong atas perkenan berangkat bagi memaknai majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Tahun 2022 malam ini.
“Patik dan seluruh warga Sembrong P153, Kementerian Pertahanan serta ATM akan sentiasa mendoakan semoga Seri Paduka Baginda terus menerus dirahmati usia, dilindungi dari segala ketidakbaikan dan dipermudahkan setiap urusan,” katanya dalam hantaran Facebooknya pada Khamis.
Pada Khamis, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 6.30 petang itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.
Turut hadir, beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin serta Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!