Mat Ropi kembali beraksi di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur
PENINJU nombor satu Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM, Mohd Rafi Abd Manaf akan menentang Oii Prakcit dari Thailand di Kejohanan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)-RXD BULL Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuda Merah Muaythai Challenge 2022 di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, pada 5 Jun ini.
Lebih dikenali Mat Ropi Singa Muda, peninju sensasi pilihan pantai timur dari Kelantan ini menunjukkan prestasi baik dengan rekod tanpa kalah dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini sudah cukup bersedia menggalas nama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kepada para peminat saya sama ada dalam kalangan anggota PDRM ataupun sekitar Kuala Lumpur mahupun di seluruh negara, datanglah beramai-ramai memberi sokongan kepada saya dan para peninju lain yang bakal beraksi pada Sabtu dan Ahad ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob berkata, para peminat muay Thai yang ingin menyaksikan perlawanan boleh mendapatkan tiket yang akan dijual di kaunter bermula jam 2 petang pada hari kejohanan.
Selain Mat Ropi, PDRM juga mempertaruhkan empat lagi peninju baharu dan lama, Rohim Apolo, Adik Rais, Fazly Kuda Merah dan Sharul Bonian pada dua malam kejohanan tersebut.
Untuk rekod edisi ke-69 ini mendapat sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan, DBKL, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Sinar Harian dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias antara tetamu yang dijangka akan hadir memeriahkan kejohanan selain Penaung Diraja Kelab Muaythai Kuda Merah, Tengku Sharifuddin Shah Tengku Sulaiman Shah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Penaung Kelab Muaythai Kuda Merah, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!