Pindah kubur lama sebabkan pembinaan jalan, jambatan: Shamsiah

Pasukan Forensik HTAA menjalankan kerja pengalihan jenazah kerana kawasan berbukit di Kampung Aur Bukit Ibam akan dilaksanakan pembinaan jalan dan jambatan baharu untuk kemudahan penduduk setempat. (Gambar kecil: Shamsiah)
Pasukan Forensik HTAA menjalankan kerja pengalihan jenazah kerana kawasan berbukit di Kampung Aur Bukit Ibam akan dilaksanakan pembinaan jalan dan jambatan baharu untuk kemudahan penduduk setempat. (Gambar kecil: Shamsiah)
A
A
A

ROMPIN - Pemindahan lima kubur lama di kawasan bukit di Kampung Aur Bukit Ibam di sini disebabkan pembinaan jalan dan jambatan baharu yang akan dilaksanakan di kawasan perkampungan terbabit dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datin Shamsiah Arshad berkata, pembangunan di kawasan itu sudah lama dirancang dan kini usaha-usaha untuk membina jalan dan jambatan tersebut akan dilakukan.

Menurutnya, susulan itu, lima unit kubur yang berada di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan mengikut hukum syarak dan prosedur operasi standard yang telah gariskan.

“Pelebaran jalan dan pembinaan jambatan baharu yang konkrit akan dibina di kawasan ini. Jambatan tersebut bakal menghubungkan penduduk Kampung Aur dengan Kampung Aur seberang serta kampung sekitarnya.

"Selama ini penduduk hanya menggunakan laluan jambatan gantung dan perahu untuk merentas sungai Aur, tetapi apabila adanya jambatan konkrit ia akan memudahkan urusan penduduk kampung," katanya ketika ditemui di Kampung Aur, Bukit Ibam di sini pada Jumaat.

Beliau mengharapkan supaya masyarakat setempat khususnya penduduk di Kampung Aur ini memahami perkara ini.

Jelasnya, pembangunan mesti dilaksanakan untuk kebaikan kampung ini dan kubur lama yang terdapat di kawasan terbabit akan dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam di Kampung Aur.

"Pelaksanaan proses pengalihan ini adalah mengikut syarak dan undang- undang. Kerja-kerja pengalihan ini akan dilakukan oleh pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan waris-waris sudah memberi persetujuan.

"Semua yang berusaha untuk memastikan pengalihan kubur lama ini berjalan lancar dan sempurna serta membolehkan pembangunan di kawasan itu dapat dilaksanakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!