JKKP sita lokasi pekerja kontrak maut
BAYAN LEPAS - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan menjalankan kerja terhadap sebuah tapak pembinaan di sini susulan berlaku satu kemalangan maut membabitkan seorang pekerja kontraktor.
JKKP dalam kenyataannya berkata, kemalangan membabitkan pekerja warga tempatan itu berlaku pada jam 1.40 petang, Rabu lalu.
Menurutnya, JKPP telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan selepas menerima aduan mengenai kemalangan berkenaan.
"Selepas ke lokasi, kita mengeluarkan satu notis larangan kerja terhadap sebuah tapak pembinaan tempat meletak bas di sebuah kilang elektronik.
"Lokasi kejadian juga disita serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya pada Khamis.
Tambah JKKP, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika pekerja tersebut menjalankan kerja-kerja pemasangan bumbung.
"Mangsa dikatakan telah terjatuh dari struktur bumbung pada ketinggian kira-kira lima meter.
"Mangsa dihantar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia pada pagi Khamis.
"Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!