Turki tukar nama kepada Turkiye
NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan Turki akan dikenali sebagai 'Turkiye' selepas pertubuhan antarabangsa itu memberi lampu hijau kepada permintaan rasmi tentang perkara itu yang dikemukakan Ankara.
Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, perubahan itu berkuat kuasa sejurus selepas mereka menerima surat dihantar oleh Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu pada minggu ini.
"Ejaan alternatif itu menggambarkan budaya, tamadun dan nilai negara tersebut," katanya yang merujuk kepada sebutan 'Tur-key-yay' selaras dengan apa yang sering disebut penduduk Ankara.
Difahamkan, pertukaran nama itu dibuat sebagai usaha untuk mengelakkan salah faham dengan beberapa maksud termasuk istilah slanga yang menjengkelkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Susulan itu, sebahagian badan antarabangsa akan diminta berbuat perkara sama untuk memastikan pertukaran nama itu sebagai sebahagian daripada kempen penjenamaan semula yang dilancarkan Recep pada tahun lalu.
"Turkiye mewakili dan mencerminkan kebudayaan, ketamadunan dan nilai rakyat kami," ujarnya pada Disember lalu.
Susulan pengumuman dibuat Recep, stesen penyiar TRT segera membuat perubahan tersebut dan menjelaskan sebab penjenamaan semula imej itu kerana enggan disamakan dengan menu tradisional 'ayam turki' yang ada kaitan dengan Hari Natal, Tahun Baharu atau sambutan Thanksgiving.
Sebelum ini, beberapa negara turut menukar nama seperti Iran (Persia), Thailand (Siam), Zimbabwe (Rhodesia) dan Eswatini (Swaziland).
Pada 2020, Netherlands menggugurkan Holland di bawah langkah sama selain Macedonia menukarkan namanya kepada Macedonia Utara susulan pertikaian politik bersama Greece. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!