Kerajaan Perak diminta jelaskan mekanisme tanam, ternak sendiri
IPOH - Kerajaan Perak perlu menjelaskan mekanisme dalam melaksanakan cadangan rakyat menanam sayur-sayuran dan menternak haiwan sendiri bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan ketika ini.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Muda Perak, Moo Keng Hao berkata, cadangan dikemukakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu perlu selari dengan pendekatan kerajaan dalam menyediakan kemudahan seperti permohonan tanah tumpangan sementara bagi tujuan pertanian.
Menurutnya, bantuan serta pendidikan juga haruslah diperkasa bagi merealisasikan cadangan tersebut seperti bantuan biji benih, baja atau kempen pendidikan tanaman hidroponik dan akuaponik yang semakin popular di kawasan bandar.
"Banyak persoalan yang timbul susulan cadangan tersebut, namun tidak dibentangkan penyelesaiannya oleh kerajaan. Persoalan seperti apakah jika rakyat meneroka tanah terbiar untuk bercucuk tanam akan dibantu kerajaan atau sebaliknya kerajaan akan mengusir dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka seperti yang kerap kali terjadi sebelum ini?
"Bantuan pula perlu diberikan kepada semua rakyat yang mahu mendapatkannya tanpa kerumitan birokrasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Keng Hao berkata, kempen seperti itu lebih berkesan jika kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) terlibat membantu menyediakan keperluan tersebut.
Menurutnya, Muda Perak melihat isu kekurangan bekalan makanan sebagai sesuatu yang serius dan perlu ditangani oleh kerajaan negeri Perak secara tuntas.
"Sebagai seorang exco kerajaan negeri yang pernah memegang portfolio pertanian suatu masa dahulu, Saarani sudah tentu mengetahui cadangan tersebut tidak akan berjaya jika hanya sekadar retorik di mulut.
"Cadangan tidak wajar dibiarkan sekadar pujangga politik. Ia perlu dibentangkan dengan pelan tindakan dalam membantu menjayakan kempen tersebut sekali gus membantu rakyat dalam menghadapi krisis global berkaitan kekurangan bekalan makanan," katanya.
Pada 31 Mei lalu, Saarani dalam satu kenyataan menyarankan supaya rakyat di negeri itu menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.
Menurutnya, langkah itu juga merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!