Pulau Pinang harap imigresen segera buka sempadan laut

Kerajaan Pulau Pinang berharap pihak imigresen dapat membuka semula sempadan laut bagi membolehkan kapal persiaran antarabangsa masuk ke negeri itu. Gambar kecil: Yeoh Soon Hin
Kerajaan Pulau Pinang berharap pihak imigresen dapat membuka semula sempadan laut bagi membolehkan kapal persiaran antarabangsa masuk ke negeri itu. Gambar kecil: Yeoh Soon Hin
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang berharap Jabatan Imigresen Malaysia segera membuka sempadan laut supaya kapal persiaran antarabangsa boleh membawa masuk pelancong asing ke negeri ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, tindakan penutupan sempadan laluan laut untuk kapal persiaran antarabangsa ketika ini amat dikesali.

Menurutnya, industri pelancongan adalah antara tunggak ekonomi yang penting kepada Pulau Pinang terutama pada zaman prapandemik.

"Kita berharap agar pihak imigresen segera membuka sempadan untuk laluan laut bagi membolehkan kapal persiaran antarabangsa masuk ke negeri ini, sekali gus merancakkan industri pelancongan Pulau Pinang.

"Ini kerana, kebanyakan pelancong asing masuk ke negeri ini melalui laluan laut. Sempadan melalui udara sudah dibuka, jadi kita harap sempadan laut segera dibuka untuk pelancong asing.

"Pemain industri pelancong amat berharap agar sempadan laut segera dibuka kerana pelancong asing amat penting untuk mereka," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Jumaat.

Soon Hin (DAP- Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Gooi Hsiao Leung (PKR- Bukit Tengah) mengenai status pembukaan sempadan laut.

Menjawab mengenai status kemajuan Terminal Cruise Swettenham Pier (SPCT), Soon Hin berkata, SPCT telah bermula sejak 2020 dan akan dilakukan dalam empat fasa, iaitu Fasa 1A, 1B, 2 dan 3.

Katanya, setakat ini, Fasa 1A telah disiapkan.

"Fasa 1A yang dianggarkan berjumlah RM95,000 merangkumi kerja-kerja pelebaran dermaga sepanjang 220 meter arah utara SPCT, pembinaan 'breasting' baharu dan 'mooring dolphin' yang masing-masing sepanjang 50 meter dan 68 meter, selain pembinaan dua jambatan bagi 'breasting' baharu dan 'mooring dolphin'.

"Fasa 1B yang dianggarkan berjumlah RM4,623,793 akan memberi fokus dalam 'Development of Preliminary Upland', iaitu mengecilkan ruang lebar dan membuat pemasangan 'gangway' atau 'boarding bridges'.

"Sementara itu, Fasa 2 and 3, iaitu New Homeport Terminal dianggarkan berjumlah RM55,391,261 akan melibat kerja-kerja penambahbaikan terminal melibatkan penstrukturan semula terminal sedia ada, jalan masuk sebelah utara sedia ada ditukarkan kepada akses kenderaan dua hala yang menghubungkan ke apron dan penambahan laluan penghubung baharu," katanya.

Beliau menambah, berdasarkan kepada garis masa Pelan Pembangunan SPCT, tiada kelewatan pelaksanaan projek tersebut.

"Fasa 1A bermula pada Julai 2020 dan selesai pada Julai 2021 manakala Fasa 1B dijangka bermula pada tahun 2023 dan akan selesai dalam tempoh 12 bulan dari tarikh mula.

"Sementara Fasa 2 and 3 pula, ia dijangka bermula pada 2024 dan akan selesai dalam tempoh 12 bulan dari tarikh mula," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!