'Kami masih berharap Asyraf dijumpai dengan selamat...'

Siti Norizan
Siti Norizan
A
A
A

IPOH - Meskipun telah hampir seminggu Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail dilaporkan hilang, ahli keluarga masih menaruh harapan tinggi mangsa dapat ditemui dengan selamat.

Kakak Mohammad Ashraf, Siti Norizan, 36, berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha tidak putus-putus pelbagai pihak yang membantu misi mencari dan menyelamat mangsa, sejak hari pertama kehilangannya dilaporkan.

Menurutnya, sokongan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban ditanggung keluarga sekali gus memberi semangat bahawa mangsa dapat diselamatkan.

"Semoga dengan berkat doa rakyat Malaysia termasuklah mereka yang melakukan solat hajat, adik saya dapat ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ahli keluarga juga terharu dengan komitmen tinggi ditunjukkan pasukan penyelamat, pihak penganjur dan orang awam yang meneruskan usaha mencari walaupun hingga kini masih menemui jalan buntu.

"Kami terharu dengan sokongan padu diberikan. Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih atas usaha tidak putus-putus mencari adik saya ini," katanya.

Mohammad Ashraf yang bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.

Kehilangan anak kelima daripada tujuh beradik itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang turut mendoakan usaha mencari dan menyelamat menemuinya dalam keadaan selamat.

Artikel Berkaitan:

Selain pasukan penyelamat, usaha mencari turut diikhtiarkan menerusi pengamal perubatan Islam. Penduduk kampung dan jemaah masjid juga melakukan solat hajat agar urusan operasi dipermudahkan.

Terdahulu, Polis Perak memaklumkan, Operasi Menyelamat (Op SAR) yang sepatutnya ditamatkan semalam dilanjutkan hingga Sabtu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!