Pemandu lori dicekup cubaan buang sampah di tapak haram
KAJANG - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berjaya menahan beberapa pemandu lori yang cuba membuang sampah di sebuah tapak haram berdekatan sebuah kawasan perumahan di Sungai Long, di sini pada Rabu.
MPKj menerusi satu laporan di Facebook memaklumkan tindakan tersebut dilakukan ketika pihaknya menjalankan pemantauan pada jam 3 petang hingga 4.45 petang di kawasan tersebut
Menurut laporan tersebut, hasil tinjauan awal mendapati terdapat tiga buah lori yang keluar daripada tapak terbabit dan tong 'Roll On Roll Off' (RORO) lori-lori tersebut kosong, disyaki selesai membuang sampah di lokasi tersebut.
"Sewaktu siasatan ke atas setiap lori yang ditahan ini dijalankan, dua pemandu lori menghalang tugas siasatan dengan cubaan melanggar pegawai bertugas dan kenderaan jabatan untuk melarikan diri.
"Selepas pemandu tersebut ditahan, sebuah lagi lori yang cuba memasuki tapak dengan muatan penuh ditahan oleh pasukan dan mengaku ingin membuang sampah di tapak ini selepas disiasat.
"Pemandu-pemandu lori ini diiring pulang ke pejabat MPKj bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam laporan pada Khamis.
Sementara itu, MPKj memaklumkan sebanyak dua buah lori berjaya disita dan dikompaun.
Selain itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berkenaan sitaan lori dan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas dua pemandu lori yang cuba melanggar pegawai bertugas untuk melarikan diri.
Dalam perkembangan lain, pihak MPKj turut melakukan pemantauan di tapak sampah haram Blackwater Bandar Mahkota Cheras di sini.
"Pemantauan statik yang dijalankan mendapati tiada pergerakan keluar masuk oleh mana-mana lori sampah di kawasan itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!