AKM: Iktiraf kecemerlangan pendidikan Terengganu
KUALA NERUS - Kerajaan negeri menyifatkan pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu', sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pendidikan yang dicapai negeri itu selama ini.
Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penganjuran program itu juga merupakan 'hadiah istimewa' untuk rakyat Terengganu kerana berpeluang mengetahui lebih terperinci berkaitan usaha dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) di reruai pelbagai agensi di bawah kementerian itu.
"Berdasarkan maklum balas pengunjung, ramai berpuas hati dengan perkhidmatan di reruai KPM kerana banyak maklumat disediakan berkaitan biasiswa, pinjaman pelajaran, Institut Pengajian Tinggi dan kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG).
"Saya berharap rakyat Terengganu akan memanfaatkan masa terluang Jumaat dan Sabtu untuk mengunjungi reruai KPM dan kementerian lain di Jelajah AKM serta merebut peluang mendapatkan penerangan daripada pegawai dan kakitangan bertugas dengan lebih mendalam," katanya kepada Bernama Jumaat.
Beberapa pengunjung yang ditemui Bernama terutama pelajar mengakui teruja untuk mengetahui peluang menyambung pelajaran dengan tajaan biasiswa serta kemudahan pinjaman disediakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Atirah Nur Huda Abdul Rahman, 17, berkata, dia datang bersama dua rakannya untuk mengintai peluang kemasukan ke mana-mana IPT yang sesuai dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki tahun depan."SPM lambat lagi, tapi tak salah ambil tahu maklumat terkini untuk masa depan, lagipun datang sini memang nak tengok reruai Universiti Malaysia Terengganu sebab ramai senior sekolah saya kini melanjutkan pelajaran di universiti itu," katanya.
Bagi kakitangan swasta, Shahrul Nizam Mat Amin, 47, dia datang ke AKM bersama dua anaknya untuk mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia secara percuma kerana keistimewaan itu dibuka kepada pelajar universiti sepenuh masa pada AKM kali ini.
"Saya katakan kepada anak, sebagai pelajar universiti mereka perlu bijak mengambil peluang yang disediakan kerajaan dan kena tahu perkembangan semasa agar tidak terlepas peluang.
"Kunjungan ke AKM memberi pengetahuan kepada mereka mengenai fungsi kementerian tertentu kerana semua ini penting sebagai persediaan melangkah ke alam pekerjaan tidak lama lagi," katanya.
Terengganu menjadi destinasi keempat penganjuran AKM selepas Johor, Perlis dan Sabah, manakala KPM pula dipilih selaku kementerian peneraju bagi edisi kali ini.
Ia berlangsung dari 2 hingga 4 Jun di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!