CAP gesa KPDNHEP kuat kuasa akta kawalan harga

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menguatkuasakan Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8 (1) yang menghendaki peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan yang dimaksudkan untuk dijual.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat berdasarkan tinjauan yang berulang kali dijalankan pihak CAP di sekitar negeri tersebut.

Menurutnya, tinjauan mendapati, ramai peniaga terutama gerai makan dan restoran secara terang-terangan melanggar Akta Kawalan Harga iaitu tidak mempamerkan senarai harga makanan.

"Selain tidak mempamerkan senarai harga, peniaga tidak mengemas kini senarai harga. Mereka juga mempamerkan senarai harga yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Cina.

"Tinjauan juga mendapati, banyak pemilik kedai makanan meletakkan senarai harga agak jauh dari tempat makanan yang diletakkan. Ia menyukarkan pelanggan mengetahui harga makanan yang mereka pesan dan lebih membimbangkan, harga makanan yang diambil melebih bajet pelanggan," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Tambahnya, secara amnya, pengguna sering dikenakan bayaran berlebihan namun tidak mampu untuk mempertikaikan kerana tiada senarai harga makanan.

"Mengikut akta, penjual bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada pembeli mengenai harga. Selain itu, kekurangan penguatkuasaan menyebabkan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak berkesan.

"Sehubungan itu, CAP menggesa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di seluruh negara dan menguatkuasakan undang-undang dengan tegas mengikut Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973. Mereka yang didapati bersalah perlu diambil tindakan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!