Banyak perkara Korea Selatan boleh belajar dari Brazil
PEMAIN Korea Selatan diharapkan dapat mempelajari sesuatu daripada kekalahan 1-5 ketika berdepan Brazil dalam aksi persahabatan pemanas badan menjelang Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Piala Dunia Seoul.
Malah menurut Kapten Korea Selatan, Son Heung-min, satu penghormatan kepada skuad kendalian Paulo Bento apabila mendapat peluang menentang Brazil.
“Brazil sememangnya pasukan yang bermain bijak apabila para pemainnya boleh mengeksploitasi walaupun kesilapan kecil, dan kami perlu menambah baik dalam aspek itu.
"Kebanyakan daripada lima gol dihasilkan Brazil berpunca hasil kesilapan kami,” kata Heung-min selepas perlawanan tersebut.
Pada perlawanan itu, lima gol skuad pimpinan Tite diledakkan oleh Richarlison (7'), Neymar (42', 57'), Philippe Coutinho (80'), Gabriel Jesus (93') manakala gol tuan rumah dijaringkan Hwang Ui-jo (31').
Anak buah Bento dijadualkan meneruskan aksi pemanas badan berdepan Chile, Paraguay dan Mesir bulan ini sebagai persediaan untuk penampilan ke-10 berturut-turut pada pusingan akhir Piala Dunia di Qatar akhir tahun ini.
"Ia mungkin bukan keputusan yang peminat kami inginkan dan kami juga kecewa.
"Kami faham perjalanan masih panjang, namun kami akan melakukan terbaik sehingga Piala Dunia dan memberikan para penyokong Korea Selatan sesuatu untuk buat mereka tersenyum," kata Heung-min.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!