Ahmad Faizal nafi wujud kem dalam Bersatu

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan wujudnya kem di dalam parti tersebut.

Ujarnya, semua pimpinan di dalam Bersatu tekad memberi sokongan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak percaya (wujud kem) dan amat yakin bahawa parti ini teguh," katanya dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran Kata Dua di kementeriannya di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi wujudnya dua kem di dalam parti tersebut.

Dua kem tersebut dikatakan sebagai kem Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Ahmad Faizal, Azmin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyokong pimpinan Muhyiddin.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kerjasama parti pembangkang, Ahmad Faizal berkata, beliau menghormati pandangan tersebut.

"Apa yang dinyatakan itu adalah hasratnya dan saya menghormati apa jua pandangan beliau (Tun M) sebagai negarawan," katanya.

Menurutnya, sekiranya Muhyiddin diberi peluang sekali lagi untuk memimpin kerajaan Persekutuan, Ahli Parlimen Pagoh itu pastinya akan memberi prestasi baik kepada negara.

"Saya amat yakin," katanya.

Dr Mahathir pada Rabu mengakui kepentingan kerjasama antara pembangkang di bawah ‘khemah besar’ namun menolaknya kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya adakah Muhyiddin memiliki 119 sokongan daripada ahli Parlimen, Ahmad Faizal bagaimanapun mengambil sikap untuk mengunci mulut.

"Saya tiada makluman berhubung perkara itu dan tak dapat komen," katanya.

Isnin lalu, Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Katanya Muhyiddin memaklumkan telah mempunyai sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!