Swiatek mahu teruskan rentak kemenangan

Swiatek - Foto AFP
Swiatek - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN nombor satu dunia, Iga Swiatek mahu meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan pemain muda sensasi, Coco Gauff pada aksi final perseorangan wanita pada Terbuka Perancis 2022, pada Sabtu.

Menurut pemain Poland berusia 21 tahun itu, dia mahu memberikan aksi terbaik dan seterusnya mengulangi kejayaan muncul juara kejohanan berkenaan sebagaimana yang pernah dilakukannya pada edisi 2020 lalu.

“Saya mahu meneruskan momentum kemenangan pada kejohanan ini biarpun menjangkakan menerima tentangan sengit daripada bintang muda Amerika Syarikat (AS), Gauff.

“Saya mahu mengulangi kejayaan memenangi kejohanan ini sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun 2020 lalu,” katanya.

Untuk rekod, Swiatek menewaskan pemain Russia, Daria Kasatkina, 6-2, 6-1 pada aksi separuh akhir Khamis lalu manakala Gauff menewaskan pemain Itali, M.Trevisan, 6-3, 6-1 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu Gauff yang baru berusia 18 tahun menegaskan, dia masih sukar untuk mempercayai bahawa dirinya bakal beraksi di pentas final Terbuka Perancis yang juga merupakan pentas Grand Slam pertamanya.

Malah menurut Gauff, dalam masa sama dirinya turut teruja untuk beraksi dan seterusnya cuba untuk melakar kejayaan Grand Slam sulungnya.

“Sebenarnya, saya masih dalam keadaan ‘terkejut,’ dan saya tidak tahu bagaimana menggambarkan perasaan saya ketika ini.

“Apa pun, saya akan cuba menangani tekanan yang dihadapi dan beraksi seperti biasa pada final nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!